Latar Belakang & Justifikasi
Peningkatan ucapan kebencian merupakan masalah terdesak bagi komuniti, badan pentadbiran dan platform dalam talian di seluruh dunia. Malah, pihak kerajaan dan masyarakat sivil, sektor swasta dan organisasi antarabangsa tampil bersama dalam pelbagai kesempatan untuk menentukan cara mengawal keganasan hasutan terhadap kumpulan yang dilindungi. Syor khusus yang diketengah daripada forum ini termasuk keperluan untuk:
1) mewujudkan mekanisme untuk memantau dan menerima aduan ucapan kebencian,
2) mengumpul data mengenai ucapan kebencian, dan
3) mendidik masyarakat umum tentang kaedah tersedia untuk memerangi peningkatan ucapan kebencian.
Pada tahun 2020, ALTSEAN dan APPAP memutuskan untuk mewujudkan satu mekanisme untuk penduduk di Burma/Myanmar dan Malaysia bagi melaporkan insiden ucapan kebencian: Aplikasi kebencian SOS (SOS Hate). SOS Hate dibangunkan dengan kerjasama Seagull yang berpangkalan di Burma dan Beyond Borders yang berpangkalan di Malaysia untuk menyokong penciptaan produk tiga bahasa. Pembangunan aplikasi itu dimaklumkan oleh kumpulan fokus persendirian di Burma dan Malaysia, dan reka bentuk teknikal aplikasi itu dilaksanakan oleh Sonder, sebuah Agensi Pemasaran Digital yang berpangkalan di Brisbane, Australia. Alat ini bertindak kepada keperluan yang didedahkan oleh pihak akar umbi, ahli akademik dan masyarakat sivil, dengan tujuan untuk menawarkan alternatif yang berguna dan interaktif bagi melapor insiden ucapan kebencian.
Reka bentuk aplikasi
Konsep utama yang memandu pembangunan aplikasi ini ialah untuk memastikan pengguna memperoleh tindak balas daripada platform tersebut. Kebanyakan mekanisme yang digunakan untuk melapor ucapan kebencian seperti ciri dalam Facebook hanya membenarkan pengguna menghantar aduan tanpa tidak menerima sebarang pengesahan atau respon pada kebanyakan masa. Aplikasi ini mahu menangani isu tersebut dalam tiga cara berikut:
1) Berdasarkan maklumat yang dimasukkan dalam aplikasi, ia memberitahu pengguna sama ada ucapan kebencian tersebut melanggar mana-mana peruntukan platform dalam talian serta undang-undang negara mereka.
2) Selain memberi maklumat kepada pengguna, aplikasi tersebut turut membolehkan kakitangan aplikasi menghubungi pengguna dan menawarkan panduan untuk mendapatkan bantuan jika pengguna bersetuju dengan perkara itu.
3) Ia mengumpul data aduan pada bahagian back-end, membenarkan kakitangan aplikasi menghantar data kejadian terkumpul ke platform seperti Facebook, bagi menunjukkan kekerapan ucapan kebencian dalam platform sekali gus menyokong tindakan yang lebih berkesan oleh penawar khidmat platform.
Kelebihan kedua aplikasi ini berbanding lain ialah ia menyediakan bahan sumber kepada pengguna jika mereka merasakan berada dalam bahaya—terutamanya mencederakan diri sendiri—atau sebaliknya seperti mengalami kesan psikologi negatif daripada insiden yang mereka laporkan. Terdapat sumber maklumat untuk dihubungi bagi pengguna di kedua-dua Burma dan Malaysia.
Aplikasi ini juga membolehkan pengguna memutuskan sama ada mereka mampu bergerak secara bersendirian atau mahu mendapatkan bantuan daripada kakitangan aplikasi. Setelah selesai dengan aplikasi tersebut, pengguna akan didedahkan dengan maklumat yang diperlukan untuk jenis-jenis tindakan lanjut; yang mana pengguna boleh membenarkan atau menafikan bantuan kakitangan yang menghubungi dalam proses tersebut. Sekiranya pengguna bersetuju, kakitangan aplikasi akan menghubunginya untuk mengetahui lebih lanjut, memberi nasihat tentang langkah seterusnya dan berpotensi membantu pengguna untuk memfailkan aduan.
Rasional: mereka yang menolak untuk bercakap dengan kakitangan aplikasi, sama ada atas sebab privasi, keselamatan atau lain-lain, boleh meneruskan kaedah mereka sendiri; mereka yang sedia membincangkan kejadian akan diberikan semua bantuan oleh kakitangan aplikasi.
Kakitangan yang menerima aduan pengguna—dan, apabila perlu, bertindak balas kepada pengguna—telah menerima latihan berhubung cara mengendalikan situasi ini dengan berkesan, termasuk latihan sensitiviti.
Data output untuk pengguna
Bergantung pada respons pengguna kepada soalan yang dikemukakan dalam aplikasi, mereka akan diberikan beberapa atau semua perkara berikut:
• Butiran peruntukan undang-undang Burma/Malaysia yang mungkin telah dilanggar semasa kejadian, supaya pengguna boleh meneruskan langkah undang-undang;
• Maklumat terperinci, tentang cara menyerahkan aduan ke platform dalam talian di mana pengguna mengalami kejadian itu;
• Maklumat tentang cara menghantar aduan rasmi kepada badan/mekanisme hak asasi manusia;
• Pautan kepada sumber bahan yang menerangkan secara lanjut tentang ucapan kebencian dan langkah pencegahan; dan
• Maklumat perhubungan pengguna untuk mendekati kumpulan komuniti ucapan kebencian tempatan di Burma atau Malaysia.
Pengguna juga akan disoal mengenai hasil yang mereka harapkan menggunakan aplikasi tersebut, dengan pilihan termasuk mencadangkan hasil yang belum dipertimbangkan dalam aplikasi. Ini boleh digunakan untuk pembangunan masa hadapan.
Rasional: berdasarkan kajian, ini adalah cara terbaik sedia ada untuk mereka yang pernah berdepan ucapan kebencian di Burma atau Malaysia. Pilihan tambahan—menghubungi pelaku ucapan kebencian untuk mencari perdamaian— dikecualikan atas sebab privasi dan keselamatan.
Tindakan susulan
Semasa berinteraksi dengan aplikasi, pengguna akan diminta kebenaran untuk berkongsi maklumat dengan kakitangan aplikasi, dan jika ya, butiran untuk dihubungi akan ditanya. Dengan mengandaikan kebenaran diberi untuk berkongsi maklumat, kakitangan aplikasi akan menghubungi pengguna secepat mungkin untuk membuat tindakan susulan ke atas aduan, mengetahui lebih lanjut tentang kejadian dan membincangkan langkah seterusnya dengan pengguna. Pengguna mempunyai pilihan untuk menghentikan perbualan pada bila-bila masa dengan kakitangan aplikasi—keputusan pengguna diutamakan.
Pengumpulan data
Selepas pengguna melengkapkan siri soal jawab dalam aplikasi, data mereka akan dimasukkan secara automatik ke dalam hamparan yang hanya boleh dilihat oleh kakitangan aplikasi. Ini akan membolehkan kakitangan aplikasi menganalisis purata data daripada pengguna dan mempelajari aliran ucapan kebencian di Burma dan Malaysia. Pengguna wajib menyatakan kebenaran sama ada maklumat mereka boleh digunakan dalam aduan terkumpul, aduan tanpa nama kepada PBB atau platform media sosial, digunakan dalam laporan awam terkumpul tanpa nama atau sebaliknya.
Maklumat yang dikumpul oleh kakitangan aplikasi akan dianalisis dan berpotensi untuk digunakan dalam aduan atau laporan termasuk:
• Lokasi peristiwa itu berlaku
• Sama ada peruntukan undang-undang Burma atau Malaysia dilanggar
• Platform media sosial di mana insiden itu berlaku, jika berkenaan
• Sama ada peraturan platform media sosial untuk pertuturan telah dilanggar
• Punca ucapan kebencian (cth., agama, jantina, keutamaan seksual)
• Sama ada ucapan kebencian yang ditutur adalah dalam ulasan peribadi atau umum
• Sama ada pengguna adalah mangsa atau saksi kejadian
• Hasil yang diharapkan pengguna
• Maklumat demografi (pilihan): identiti jantina; kecacatan fizikal; umur; etnik; orientasi seksual; agama
• Maklumat kesan kejadian (pilihan) kepada pengguna: tidur; tabiat makan; perasaan keselamatan pengguna atau orang lain; penggunaan bahan; hubungan dengan kumpulan yang dikaitkan dengan pelaku yang didakwa
Keselamatan dan perlindungan
Seperti yang dinyatakan di atas, aplikasi ini direka dengan mengambil kira keselamatan dan privasi pengguna. Ia meminta persetujuan untuk sebarang bentuk komunikasi antara kakitangan aplikasi dan pengguna dan persetujuan untuk penggunaan data terkumpul tanpa nama. Data pengguna tidak akan dikongsi dengan pihak lain dalam apa jua cara yang boleh dikaitkan dengan pengguna, melainkan pengguna memberikan persetujuan untuk perkara itu pada masa akan datang.
Reka bentuk teknikal aplikasi juga mengutamakan privasi dan keselamatan pengguna. Ia tidak menggunakan cookies atau teknologi pengesan. Laman web dan data pengguna dihoskan di Australia, dalam pelayan Google Cloud. Ia menggunakan strategi dan alat pencegahan kehilangan data (DLP) bagi menghalang data daripada dicuri, hilang atau dipadamkan secara tidak sengaja; peralatan penyimpanan yang menyediakan pengelompokan dan redundansi cakera terbina dalaman; firewall untuk memastikan hanya pengguna yang berautoriti sahaja dibenarkan untuk mengakses atau memindahkan data; dan penyulitan (encryption), yang mengubah kandungan data mengikut algoritma boleh diterbalikkan hanya menggunakan kekunci penyulitan (encryption) yang betul, menjadikannya tidak boleh dibaca jika dicuri.
Sebelum menggunakan aplikasi, pengguna diberikan dasar privasi yang diterangkan dalam bahasa pilihan pengguna (Bahasa Inggeris/Burma/Melayu).
Pembelajaran dan perluasan
Aplikasi ini ialah projek perintis yang meneroka kaedah penyelesaian untuk insiden ucapan kebencian dengan: 1) menawarkan mekanisme aduan untuk mangsa ucapan kebencian, 2) mendidik mangsa dan ahli komuniti mengenai tindakan undang-undang, mekanisme aduan yang sedia ada dan sumber sokongan, dan 3) mengumpul data contoh ucapan kebencian bagi meningkatkan pemahaman berhubung fenomena dan melaporkan penemuan tersebut kepada pihak yang berkaitan.
Mengumpul data contoh ucapan kebencian adalah penting, kerana masih tiada definisi ucapan kebencian yang dipersetujui, dan peraturan yang adil dan berkesan masih sukar difahami. Menawarkan peluang kepada mangsa melaporkan kesukaran yang mereka alami untuk menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam tentang situasi yang dihadapi kumpulan dilindungi. Data tersebut juga boleh mengukuhkan usaha advokasi. Selain itu, bagi negara yang tidak menandatangani ICERD, seperti Burma dan Malaysia, dokumentasi ucapan kebencian boleh mewakili satu langkah ke arah pencegahan dan akauntabiliti lanjut oleh pemain negara dan antarabangsa.
Ia juga penting untuk menilai peranan masyarakat sivil dalam membendung peningkatan ucapan kebencian. Menurut PBB, sebagai langkah meneroka peranan mereka, masyarakat sivil mesti memperluaskan aktiviti mereka termasuk dengan: “memantau kebencian dalam talian; menyokong mangsa kebencian dalam talian; memantau tindak balas laporan kebencian platform dalam talian; memantau tindak balas kerajaan terhadap aduan mengenai kebencian dalam talian; mengenal pasti manifestasi baru kebencian dalam talian; mengesan ancaman dan memaklumkan kepada pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk kerajaan; menyokong penguatkuasaan undang-undang dengan menyediakan data untuk siasatan; menyokong organisasi masyarakat sivil yang lain dengan menyediakan kapasiti pakar apabila diperlukan; membangunkan platform untuk menggalakkan penyelarasan yang lebih baik dalam memantau ucapan benci; menyediakan maklumat dan pendidikan kepada penggubal dasar, platform, pendidik, penguatkuasa undang-undang, NHRI, dan lain-lain; menyokong pendidikan awam melalui program dan penglibatan media; dan pendekatan lain.”
Platform SOS Hate akan disesuaikan dan dipertingkatkan berdasarkan soalan dan cadangan pengguna serta corak yang muncul dalam data yang dikumpul. Jika pengguna mencadangkan cara lain yang lebih berkesan untuk mencabar ucapan kebencian—atau jika cara lain seumpama itu dikenalpasti oleh pembangun aplikasi—ia akan dikemaskini pada kandungan aplikasi. Jika SOS Hate terbukti berguna untuk pengguna di Burma dan Malaysia, maka ia boleh dikembangkan untuk bahasa dan sumber pengguna di Rantau Asia-Pasifik yang lebih luas.